Ahad, 2 Jun 2019

Setiap Manusia Ada Syaitan Bersamanya


Allah Subhanahu wa Ta’ala mengutuskan malaikat menemani setiap manusia untuk memberikan petunjuk dan menyokongnya ke arah keimanan dan kebaikan. Allah Subhanahu wa Ta’ala juga mengutuskan syaitan untuk bersamanya yang akan mengeliru dan menghiaskan amalan buruknya serta menggodanya ke arah kemungkaran dan kejahatan. Semua manusia termasuk para Nabi tidak terlepas daripada perkara ini. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

وَكَذَٲلِكَ جَعَلۡنَا لِكُلِّ نَبِىٍّ عَدُوًّ۬ا شَيَـٰطِينَ ٱلۡإِنسِ وَٱلۡجِنِّ يُوحِى بَعۡضُهُمۡ إِلَىٰ بَعۡضٍ۬ زُخۡرُفَ ٱلۡقَوۡلِ غُرُورً۬ا‌ۚ


Terjemahannya: “Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap nabi itu musuh, yaitu syaitan-syaitan (dari jenis) MANUSIA dan (dari jenis) JIN, sebahagian mereka membisikkan kepada sebahagian yang lain perkataan-perkataan yang indah-indah untuk menipu (manusia).” [Surah Al-An’am ayat 112]

Dalam sebuah hadith, ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha meriwayatkan, yang bermaksud:
“Pada suatu malam, Nabi Shallallahu ‘alaih wasallam keluar dari rumahku yang menyebabkan aku merasa cemburu. Apabila baginda Shallallahu ‘alaih wasallam balik, baginda menyedari perilaku ku itu dan bersabda: “Wahai ‘Aisyah, kenapa ini? Adakah engkau cemburu?. Aku berkata: “Bagaimana orang yang seperti aku tidak cemburu kepada orang yang sepertimu? Baginda Shallallahu ‘alaih wasallam bersabda: “Adakah syaitanmu telah datang (menggoda perasaanmu)? Aku bertanya: “Wahai Rasulullah, adakah aku mempunyai syaitan? Baginda Shallallahu ‘alaih wasallam menjawab: “Ya”. Aku bertanya lagi: “Adakah setiap manusia mempunyai syaitannya” Baginda Shallallahu ‘alaih wasallam menjawab: “Ya”. Aku bertanya: “Engkau juga mempunyai syaitanmu?” Baginda Shallallahu ‘alaih wasallam menjawab: “Ya, tetapi Allah Subhanahu wa Ta’ala telah menolongku sehinggalah dia telah masuk Islam.” [ Hadith Riwayat Muslim]

Abdullah bin Mas’ud radhiyallau ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, yang bermaksud:
“Setiap kamu telah diwakilkan dengan Qorin (teman) dari kalangan jin.” Mereka (para sahabat) bertanya: “Adakah engkau juga begitu wahai Rasulullah?” Baginda Shallallahu ‘alaih wasallam menjawab: “Ya, aku pun begitu tetapi Allah Subhanahu wa Ta’ala telah menolongku sehingga ia telah masuk Islam dan hanya menyuruhku ke arah kebaikan.” [Hadith Riwayat Muslim]


Sekian. Wallahu A'lam.

Tiada ulasan: