Sabtu, 1 Jun 2019

Membaca Al Qur’an adalah cara yang terbaik untuk mendekatkan diri kepada Allah


Abu Dzar radhiyallahu ‘anhu berkata: Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Tidak ada suatu perkara pun yang dapat mengembalikan (menghampirkan kamu) kepada Allah, lebih afdhal daripada perkara yang telah keluar dari-Nya sendiri yakni Al-Qur’an.”

[Hadith riwayat Hakim dan dishahihkan oleh Abu Daud dan Tirmizi daripada Abu Umamah]


Penjelasan:

Telah terbukti daripada beberapa hadith bahawa tiada sesuatu pun yang dapat mengatasi Al-Qur’an dalam penghampiran diri kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Penjelasan hadith ini bahawa membaca Al-Qur’an adalah cara paling baik untuk menghampirkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala dapat difahami daripada tafsir Maulana Shah Abdul Aziz Dehlawi rahimahullah. Ringkasan daripada tafsir yang beliau telah tuliskan ialah:

“Suluk ila Allah atau sifat IHSAN adalah nama bagi menunjukkan keadaan bahawa Allah Subhanahu wa Ta’ala hadir dalam HATI. Keadaan tersebut dapat dihasilkan melalui tiga cara. Pertama ialah “tasawur” yang dikenali dalam istilah syarak dengan ‘tafakkur dan tadabbur’ (memikir dan merenung), sementara dalam istilah tasawuf pula dikenali sebagai “muqarabah’. Kedua ialah ZIKIR secara lisan; dan Ketiga ialah MEMBACA Al-Qur’an. Oleh kerana itu, cara yang pertama, iaitu MURAQABAH adalah sebenarnya zikir qalbi (zikir dengan hati), maka sebenarnya semua cara tersebut hanyalah DUA cara; yang pertama ZIKIR, sama ada melalui lisan (lidah) ataupun melalui hati. Yang kedua ialah membaca Al-Qur’an.

Dengan menyebut berulang kali apa-apa sahaja lafaz yang dimaksudkan sebagai nama Allah Subhanahu wa Ta’ala adalah ZIKIR dan merupakan asbab kepada ‘mudrikah’ iaitu memahami dan mengenali kepada Zat yang diingati itu sehingga seolah-olah Zat itu hadir dalam hati (istihdar). Keadaan HADIR dalam hati yang berterusan ini dinamakan ‘ma’iyyat’ (keadaan bersama) yang dinyatakan dalam hadits berikut:

Maksudnya: “Hamba-Ku sentiasa mendekati-Ku dengan ibadah-ibadah nawafil (ibadah sunat) sehingga Aku mencintainya (menyayanginya). Lalu Aku menjadi pendengarannya yang dia gunaan untuk mendengar. Aku menjadi penglihatannya yang dia gunakan untuk melihat, Aku menjadi tangannya yang dia gunakan untuk memegang dan Aku menjadi kakinya yang dia gunakan untuk berjalan...”


Apabila seseorang itu menjadi hampir dengan Allah Subhanahu wa Ta’ala melalui ibadahnya yang banyak, maka Allah Subhanahu wa Ta’ala akan menjadi PENJAGA kepada anggota-anggotanya. Mata, telinga dan semua anggota badannya akan patuh dan menurut kehendak Allah Subhanahu wa Ta’ala. Hadith di atas menyebut tentang ibadah-ibadah sunat kerana ibadah-ibadah fardhu (wajib) adalah sesuatu yang sudah ditentukan dan tidak boleh ditambah. Keadaan yang disebut dalam hadith di atas akan terhasil apabila KEHADIRAN Allah Subhanahu wa Ta’ala berterusan dalam hati (iaitu dengan selalu mengingati dan menyebut Allah).

Maksud hadith Qudsi di atas ialah Allah Subhanahu wa Ta’ala memberi perhatian dan tumpuan kepada mereka yang mengingati dan mencari-Nya, lebih daripada usaha mereka sendiri. Apabila INGATAN daripada orang yang berzikir itu berterusan, maka perhatian dan tumpuan Allah Subhanahu wa Ta’ala kepadanya jua akan berterusan. Oleh kerana kalamullah (Al-Qur’an) tidak lain tidak bukan adalah ZIKIR dan tidak ada satu ayat pun yang sunyi daripada zikir serta tawajjuh kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala, maka keadaan yang sama didapati melalui PEMBACAAN Al-Qur’an. Walau bagaimanapun, pada Al-Qur’an terdapat tambahan satu perkara khusus yang boleh menyebabkan bertambahnya penghampiran diri kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Perkara yang khusus itu ialah setiap perkataan mengandungi sifat dan kesan pengucapnya.

Satu perkara yang jelas dan nyata ialah membaca berkali-kali syair-syair (puisi) daripada orang yang fasiq dan fajir akan meninggalkan kesan yang buruk kepada kita. Sementara, syair-syair daripada orang muttaqin (orang-orang bertakwa) akan membawa kesan dan hasil yang baik. Oleh kerana itu juga, berlebih-lebihan dalam mempelajari ilmu mantik dan falsafah akan membawa kepada sifat SOMBONG dan TAKBUR. Sebaliknya, menyibukkan diri dengan hadith-hadith Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam akan melahirkan sifat rendah diri.

Oleh kerana perkataan-perkataan sentiasa mengandungi kesan-kesan penuturnya, maka kerana itulah mengulang-ulangi perkatan (kalam) Allah Subhanahu wa Ta’ala pasti akan melahirkan kesan-kesan dan penghampiran dengan penutur (orang yang mengucapkan) perkataan itu.

Selain itu, kebiasaan setiap penulis ialah apabila ada orang mengambil berat membaca tulisannya, maka secara tabi’i penulis itu akan memberi tumpuan dan perhatian kepada orang tersebut. Oleh kerana itu, perhatian yang LEBIH daripada Allah Subhanahu wa Ta’ala kepada orang yang mengulang-ulangi perkataan-Nya (Al-Qur’an) adalah satu perkara yang lumrah dan pasti. Tumpuan yang lebih daripada Allah Subhanahu wa Ta’ala inilah yang akan menyebabkan seseorang pembaca Al-Qur’an itu lebih HAMPIR kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Semoga Allah Subhanahu wa Ta’ala mengurniakan NIKMAT ini kepada saya dan anda juga.


[Petikan ringkas daripada buku “Fadhilat Amal” oleh Syeikh Maulana Zakaria bin Yahya (rahmatullahi ‘alaih)]

Membaca Al-Qur'an

Orang buta membaca Al-Qur'an (Braille)


1 ulasan:

Unknown berkata...

👍👍🌷🌷